18 November 2010

Sekadar Renungan; Salam Aidiladha 1431H

HAJI SUDAH TAPI KENAPA PERANGAI TIDAK BERUBAH?

DIPETIK DARI http://lanh14.blogspot.com/2010/11/ke-makkah-sudah-tetapi-kenapa-galak.html

Pemikir Islam terkenal dari Iran, Ali Shariati dalam bukunya ‘The Hajj’ atau Haji, ada menyatakan bahawa sungguhpun ramai orang menunaikan haji, kebanyakannya hanya membawa tubuh masing-masing, hanya sejumlah kecil saja yang membawa fikiran dan berupaya menyelami falsafah ibadah itu. Apabila tubuh saja dibawa, dibimbangi semangat kepatuhan kepada Ilahi hadir di Tanah Suci saja, tetapi apabila kembali ke tanah air masing-masing, seseorang jemaah itu kembali kepada perangai lama dan buruknya.

Sebagai contoh, ketika di Tanah Suci seorang jemaah itu patuh kepada perintah Ilahi dalam penutupan aurat tetapi kenapa di tanah air kembali mendedahkannya? Demikian juga di sana mereka begitu patuh kepada rukun dan wajib haji termasuk pantang larang ihram tetapi selepas kembali kenapa perilaku buruk seperti mengamalkan rasuah, menzalimi sesama insan, mengamalkan kronisme dan sebagainya terus menjadi amalan.

Apakah layak seorang insan yang sudah bergelar haji dan hajah meneruskan kelakukan buruk ini? Lebih menghairankan, mengapa insan termasuk pemimpin yang sudah menunaikan haji tergamak mengusulkan perkara yang jelas haramnya seperti aneka judi, hab hiburan maksiat dan menggalakkan lagi percambahan premis menjual minuman keras? Demikianlah, mengapa haji sudah, tetapi perangai tidak berubah?

Sebelum berangkat menunaikan haji, hampir keseluruhan jemaah telah mengikuti kursus haji termasuk membaca buku-buku panduan haji. Pendeknya jemah yakin buku panduan (manual) itu akan memudahkan pekerjaan mereka dalam menunaikan manasik haji.

Jika ibadat haji pun perlukan panduan, kehidupan kita di dunia ini juga perlukan panduan. Kitab panduan itu adalah tidak lain daripada al-Quran tetapi berapa ramai di kalangan umat yang benar-benar menjadikan al-Quran panduan kehidupan bagi meraih kejayaan dunia dan akhirat seperti yang dipohon jemaah haji ketika tawaf, ‘Rabbana atina fid-dunya hasanatan wa fil 'akhirati hasanatan waqina 'adhaban-nar’?

Apakah kita masih meneruskan amalan atau cara hidup berdasarkan kehendak kita atau kehendak al-Quran? Mengapa kita menerima pakai sebahagian perintah Allah SWT tetapi menolak sebahagian yang lain. Misalnya kita menerima perintah puasa melalui Ayat 183 Surah Al-Baqarah tetapi kita tidak berhukum berdasarkan perintah-Nya melalui Ayat 178 surah sama yang menyebut hukum qisas?

Demikianlah dalam kehidupan, seseorang itu perlu sentiasa bermuhasabah diri, mengkoreksi perkara-perkara buruk yang wujud dalam dirinya, seterusnya melemparnya jauh-jauh sepertimana dilakukan jemaah haji tatkala melontar di jamrah. Tetapi perkara ini tidak semudah ditulis atau diucapkan.

Di sinilah diperlukan pengorbanan. Tiada pengorbanan tiada kejayaan. Ini sesuai dengan Hari Raya Haji yang juga dikenali Hari Raya Korban.

Tiada ulasan:

Rilex...