10 Oktober 2008

ARKIB : 09/10/2008 Utusan Malaysia

Moga ada sedikit rasa terharu di hati kita. Sesungguhnya Aidilfitri bukanlah milik kita seluruhnya...

Kehadiran ayah, ibu dirindui


Hanya doa dipanjatkan untuk ibu bapa tercinta.


MENDENGAR lagu Musafir di Aidilfitri dendangan S.Jibeng ini, cukup meruntun hati sesiapa sahaja terutama anak-anak yang telah kehilangan ibu dan bapa.

Hakikatnya, tiada apa yang lebih menggembirakan pada hari raya melainkan dapat berkumpul dengan sanak-saudara dan rakan taulan untuk bersama-sama bermaafan dan meraikan hari bahagia itu selepas berpuasa selama sebulan.

Sememangnya, detik gembira itu sesuatu yang dinanti-nantikan lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak kerana selain melaram dengan pakaian baru berpeluang pula mendapat duit raya.

Bagaimanapun, tidak semua insan sebertuah itu, apatah lagi bagi anak-anak yatim yang tinggal di asrama atau rumah kebajikan.

Meskipun segala persiapan sudah dibuat dan turut gembira menyambut kedatangan Syawal, jauh di hati kecil masih merindui kehadiran dan belaian ibu atau bapa yang telah kembali dijemput Pencipta-Nya.

Perasaan itulah yang turut dikongsi beberapa penghuni Rumah Anak Kesayanganku (RAK), yang terletak di Sekyen BB4, Bukit Beruntung, Selangor, ketika ditemui baru-baru ini.

Setiap kali takbir raya bergema, kenangan berhari raya bersama ibu dan ayah pasti tergambar di ruang mata gadis cilik berusia 9 tahun ini. Itulah saat paling bahagia dalam hidup Wan Abqariah Wan Zulkifli, bersama adik beradiknya yang lain.

Tahun ini kali pertama dia berhari raya tanpa insan bergelar bapa. Perasaan sedih sememangnya sukar digambarkan kerana sewaktu bapanya masih ada, beliaulah orang paling sibuk menguruskan keperluan mereka sekeluarga.

Apatah lagi, pemergian bapanya secara mengejut tatkala dia dan adik beradik lain belum puas mengecapi sentuhan kasih sayangnya.

Mungkin kerana itulah ada kalanya hati anak kecil ini begitu tersentuh dan sedih tatkala melihat rakan-rakan lain girang menyambut raya bersama ibu bapa masing-masing.

"Memang sedih sangat kerana puasa dan hari raya kali ini ayah tidak ada lagi bersama kami,'' ujarnya.

Dia yang baru enam bulan menjadi penghuni RAK bersama seorang lagi adiknya, begitupun mengakui sudah boleh menyesuaikan diri bersama-sama rakan senasib lain.

Kebetulan pula ibunya juga tinggal di RAK yang sekurang-kurangnya dapat mengubat kesedihan.

Jika Wan Abqariah berasa demikian, apatah lagi Nur Muhassanah Abdul Aziz, 13, yang menjadi penghuni RAK sejak kira-kira enam bulan lalu tanpa kehadiran kedua ibu dan bapa di sisi.

Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini telah kehilangan bapa sejak hampir setahun lalu selepas bapanya meninggal dunia kerana jatuh dari pokok.

Selepas kematian bapanya, dia dan seorang lagi abangnya dihantar ke RAK, sementara ibunya mencari rezeki menjadi tukang jahit.

"Saya memang mengharapkan suasana hari raya sama seperti ayah masih hidup, tetapi tidak mungkin berlaku,'' ujarnya dengan nada sebak sambil mengakui kesedihan amat dirasai setiap kali takbir berkumandang.

Sementara itu, Mohd Tarmimi Mat Suhot, 13, yang baru sahaja empat bulan tinggal di RAK turut melahirkan rasa sedih kerana hari raya kali ini disambut tanpa kehadiran bapa tersayang.

Bagaimanapun, kata anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini, dia cuba untuk membuang perasaan sedih itu kerana memikirkan masih mempunyai ahli keluarga lain iaitu, ibu dan dua adik lain.

"Alhamdulillah, saya sempat pulang ke rumah ibu di Sepang, Selangor untuk berhari raya bersama-sama mereka,'' ujarnya yang mengakui masih terkenangkan saat-saat manis bersama arwah bapanya..

Bagi rakannya, Fathurramadhan Salbani, 13, meskipun tidak pernah berpeluang menatap dan merasai kasih sayang seorang insan bernama bapa yang meninggal sejak dia dalam kandungan lagi, perasaan sedih setiap kali tibanya hari raya tetap sukar disembunyikan.

Seperti rakan lain yang sedih kerana kehilangan orang yang disayangi, begitulah juga dialami anak bongsu daripada empat orang adik beradik ini.

''Biarpun saya tidak mengenali ayah, kerinduan terhadap insan bernama ayah tetap saya rasa lebih-lebih lagi pada hari raya seperti sekarang,'' ujarnya.

Begitupun, kerinduan itu sedikit sebanyak terubat apabila berkesempatan menziarahi kubur bapanya selepas bersembahyang raya. nanti.

''Saya dihantar ke sini memandangkan ibu mahu kami belajar berdikari di samping berharap mendapat pendidikan lebih sempurna,'' ujarnya yang pulang berhari raya di kampung ibunya, di Manjong, Perak.

Sementara itu, Pengetua RAK, Taufik Redha Ahmad, 34, tidak menafikan takbir di pagi Syawal menambah kesayuan di hati anak-anak yatim ini, terutama apabila mengenangkan diri yang terpaksa berhari raya tanpa orang tersayang di sisi.

Menurutnya, berbanding kanak-kanak lain yang mempunyai ibu bapa serta ahli keluarga sendiri sudah tentu kemeriahan hari raya yang dirasai ketika di rumah anak yatim jauh berbeza.

Bagaimanapun, sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak ini, beliau sentiasa memastikan para penghuninya tidak berasa sedih.

"Kami sedaya upaya cuba menyelitkan aktiviti yang boleh menyemarakkan suasana hari raya dengan berpakaian baru, menunaikan sembahyang hari raya dan menikmati juadah hari raya,'' ujarnya.

Menurut Taufik, tahun ini masuk tahun kedua beliau berhari raya bersama-sama anak-anak yatim RAK.

Sama seperti tahun lalu tidak semua anak-anak ini dapat pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing walaupun mereka masih mempunyai waris, ibu atau nenek di kampung.

Ada antaranya memilih untuk berhari raya bersama-sama rakan -rakan mereka di sini memandangkan ada yang tinggal di luar Selangor dan memikirkan kesempitan hidup yang dialami keluarga.

''Kebiasaannya selepas menunaikan sembahyang hari raya di surau berhampiran, mereka akan berkumpul menikmati juadah yang disediakan,'' ujarnya.

Menurut Taufik lagi, jika tidak memenuhi undangan rumah terbuka, beliau akan menyewa sebuah bas pada hari raya dan membawa anak-anak ini mengelilingi Kuala Lumpur.

''Itu sahaja cara kami menghiburkan mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan berasa sedih di pagi hari raya,'' ujarnya.

Tiada ulasan:

Rilex...