21 September 2009

Catatan 2 Syawal 1430

Ramadhan dah pun berlalu, kini Syawal pula yang bertamu. Suatu hari di mana sepatutnya persahabatan yang kian lama terpisah bertaut kembali.



Kepulangan ku untuk bercuti di kampung kali ini semacam hambar sahaja. Suasana cuaca yang diiringi hujan saban petang menggamit kerinduan kepada sesuatu pencarian yang sekian lama ku usahakan. Mendambakan ikatan ukhuwah terutama dari kawan-kawan seperjuangan di SMKAM suatu ketika dahulu semacam semakin mustahil! Hanya ada beberapa contact sahaja yang masih sudi untuk menghubungi diri ini.



Namun, Insya Allah: selagi masih ada peluang hayat yang Allah pinjamkan untukku, aku akan cuba sedaya upayaku agar impianku ini menjadi realiti. Yelah, mungkin ada yang dah beranak pinak, dah dapat kerja yang bagus sesuai dengan kelulusan masing-masing, atau mungkin juga ada yang telah menyambut panggilan Illahi.



Berkawan memang pelbagai ragam. Itu jualah yang aku harungi sepanjang 28 tahun (hijri) kehidupanku di dunia fana ini. Ada kawan; bila menghadapi kesukaran kitalah yang dicari untuk bergantung harap. Bila senang, jangankan nak sms, nampak muka pun belum tentu samada di surau mahupun di port lepak.



Aku ni bukanlah nak sangat untuk menggugat, apatah lagi mengambil kesempatan di atas kesenangan kawan-kawan. Cukup jika aku mampu menzahirkan kegembiraan di atas kejayaan sahabat; atau menumpang sedih atas musibah dan masalah yang dihadapi. Salah kah aku?



Kekadang aku terasa amat sedih, sayu. Bahkan pilu bila mengenangkan semua yang aku hadapi. Atau, andai ini dugaan dari Allah, aku akan berusaha untuk menghadapinya dengan sebaik yang mungkin. Kerana Dia tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu tanpa ada asbab musababnya. Hanya Allah yang tahu... Mengajak kita selaku manusia agar menjadi golongan yang mahu berfikir dan sekaligus bermuhasabah.



(Patutkah aku terus begini?)



Saban solatku, lapangku aku akan mendoakan; agar dieratkan semula persahabatan dan juga kesejahteraan andai ada di kalangan sahabatku yang telah mendahului ku; tidak pernah untuk aku lupa melakukannya. Dengan secebis sahaja harapan cuma; agar suatu masa nanti; kiambang yang berlalu kan berpaut kembali...





Salam Tulus Ikhlas, Kemaafan di Aidilfitri...

Tiada ulasan:

Rilex...