26 November 2009

Aidil-Adha 1430

Mengecap erti pengorbanan, erti sebuah pengorbanan dan juga erti mengorbankan untuk kebahagiaan orang lain.

Aku masih lagi ingat sewaktu pertama kali terpilih mengikuti Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah Agama Semalaysia tahun 1999 di SMKA Rantau Abang, Terengganu. Aku hanya berbekalkan RM50 untuk berada di sana selama seminggu. Bila aku fikirkan balik, aku rasa menyesal pula kerana telah menyebabkan ayahku berusaha lebih untuk mencari wang belanjaku ke sana.

Masih juga basah dalam ingatanku tatkala aku masih kecil. Dengan pendapatan ayahku yang hanya seorang pemandu di LKTS ketika itu (sekarang Sarawak Plantation) mana mungkin ayah mampu untuk memberi kemewahan dan material yang mahal-mahal. Hinggakan aku ingin membeli buku kerja pun aku mesti bersabar kerana ayahku tidak cukup wang.

Tapi kini, Alhamdulillah pengorbanannya telah mula terbalas. Aku berasa bangga terutama dengan adikku yang bertugas sebagai M.A di Hospital Lawas banyak membantu keluarga. Dari kelengkapan rumah hingga lah kepada barangan dapur diusahakan oleh adikku dengan sokongan aku. Maklum sahajalah, aku ni bertugas jauh di perantauan.

AidilAdha kali ini juga menyaksikan insan yang paling aku hormati sebagai bapa saudara dan juga guru mengajiku telah 10 tahun pergi mengadap Illahi. Sehingga kini aku masih tak dapat lupakan pemergiannya yang sempat meninggalkan pesan dan juga bergurau senda; senja sebelum kematiannya. "bila dapat kerja nanti, kerja la baik-baik. "

Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang setimpal di atas pengorbanan yang telah mereka semua curahkan demi membesarkan kami adik-beradik.

Bagi insan yang telah pun mendahuluiku, hanya Fatihah mampu dikirim sebagai bukti kerinduan aku kepada mereka. Semoga di sana kita akan bersua kembali di dalam rahmat dan maghfirah Illahi. Amin...

Salam AidilAdha 1430.

Tiada ulasan:

Rilex...