28 Julai 2011

Ramadhan Datang Lagi....

Masa berlalu begitu pantas. Sedar-sedar aku kini berada di penghujung Julai 2011, menyaksikan telah 7 bulan aku di PNM bersama lokasi dan suasana yang padaku tidaklah terlalu baru bagiku.

Menyaksikan kaffarah dan inayah Allah swt yang telah Dia berikan padaku memangkin suatu rasa bahawa Dia sebenarnya masih lagi menyayangiku... Dugaan, halangan dan cubaan aku tempuhi dan tanpa hisayah-Nya sudah pasti aku telah kecundang berputus asa meneruskan kelangsungan hidup ini, Alhamdulillah!

Tahun ini mungkin menjadikan segala-galanya berlainan dari tahun sebelum ini. Kunjungan ku ke Miri baru-baru ini untuk menghadiri temuduga PP-HEI S27 menyaksikan "kembalinya" aku ke tanah kelahiranku setelah lebih 7 bulan berlalu; kerana telah berpindah ke Sarikei. Terasa syahdu tatkala menjejakkan kaki di Lapangan Terbang hingga terasa ada aliran panas bertakung di kolam mataku... Aku sememangnya merindui Miri tanah kelahiranku namun lumrah manusia pasti akan berhijrah demi meniti qada' dan qadar Illahi rabbiy.



Kembalinya aku juga menemukan aku dengan anak buah ku yang baru (anak sepupu ku) yang kira-kira 7 bulan usianya - serentak dengan tempoh kami meninggalkan Miri dalam ingatan. Juga khabaran kira-kira 2 bulan yang lalu Abg Denie yang selalu membantu kami sekeluarga telah pun kembali ke Rahmatullah! (Al-Fatihah).


Semoga kehadiran Haikal (kalau tak silap namanya) menambah seri di dalam keluarga Mak Uda...

Ramadhan & Syawal dalam suasana yang berlainan: menyaksikan sambutannya di Sarikei yang sukar untuk aku membayangkan buat masa ini. Namun Alhamdulillah aku bersyukur di sebalik kesepian ini akhirnya kawan-kawan sekolahku dulu sudi mengaturkan Mini Gathering x-SMKAM 94-99 di Boulevard pada 3 September nanti. Semoga dengan izin Allah swt aku dapat menghadirkan diri aku untuk bertemu kawan-kawan yang telah lebih 13 tahun terpisah.

13 tahun itu; menyaksikan ada yang dah ada 2-4 orang anak kot? Tak pun mungkin ada yang telah "mendahului" kami... Apapun semoga ukhuwah yang telah lama terpisah kan bercantum bak kiambang bertaut semula....

Salam Ramadhan al-Mubarak. Maaf zahir batin aku pinta sekiranya sepanjang 30 tahun (hijri) kehidupanku di bumi sementara ini - aku terlalu banyak melakukan kesilapan dan kesalahan - sedar atau tidak - nyata atau sembunyi.

Semoga 1432 ini menjadi tahun yang paling bermakna dalam hidup kita....

Tiada ulasan:

Rilex...