29 September 2008

Salam Ingatan yang Tulus dari Kumpulan Utusan

Memastikan rumah selamat


MAKLUMAT yang ditinggalkan oleh penghuni dan maklum balas daripada jiran dapat membantu polis melakukan rondaan.


PELUANG pulang ke kampung halaman untuk bertemu ahli keluarga dan saudara menjelang Aidilfitri pastinya sukar dilepaskan oleh warga-warga kota.

Harus diingat, rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni turut mengundang kegembiraan pencuri dan perompak yang sentiasa menantikan peluang seperti itu untuk 'beraya'.

Bagi mereka musim perayaan adalah masa terbaik dan paling selamat untuk menyelongkar setiap inci rumah dan membawa keluar apa sahaja yang dikehendaki.

Pada musim perayaan ini, kecelakaan bukan sahaja meningkat di jalan raya malah kes-kes kecurian dan pecah premis turut meningkat terutama di kawasan perumahan kota yang ditinggalkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, selepas memastikan kediaman berada di dalam keadaan selamat, penghuni disaran supaya memaklumkan perkara itu kepada balai-balai polis berhampiran.

Katanya, sebelum meninggalkan kediaman semua ruang yang memungkinkan kepada jenayah itu harus ditutup.

Langkah tambahan yang boleh dilakukan termasuk memberitahu jiran yang tidak pulang ke kampung supaya membantu memantau keselamatan rumah.

Mohd. Bakri berkata, sudah menjadi kebiasaan setiap kali waktu perayaan, penjenayah akan memilih rumah-rumah yang tidak berpenghuni sebagai sasaran.

"Mereka akan membuat intipan beberapa ketika sebelum memecah masuk sesebuah rumah.

"Sebab itu kita perlukan maklumat daripada penghuni untuk membantu anggota mematahkan sebarang risiko kecurian," katanya.

Selain itu sokongan dan kerjasama daripada penghuni-penghuni di kawasan kejiranan diharapkan akan membantu pihaknya membanteras penjenayah.

Sebelum pulang ke kampung, orang ramai boleh menghantarkan khidmat pesanan ringkas kepada Rakan Cop dengan menaip POLISKL BK [alamat rumah] [tarikh bercuti] kepada 32728 atau menghubungi talian 03-21159999.

Tiada ulasan:

Rilex...